KEHILANGAN


Aku tahu 'kematian' itu pasti dilalui oleh setiap manusia dan makhluk ciptaan Allah S.W.T. Namun, kadang aku lupa akan itu. Di saat sendirian air mata jatuh membasahi pipi ini kerana terlalu memikirkan bagaimana hidup ini tanpa keluarga di sisi. Bagiku tidak ada yang terlalu penting dalam hidup ini selain 'keluarga'. Meskipun keluargaku tidaklah dari kalangan yang berharta, namun kebahagiaan yang terbina itulah terkadang membuatku lupa akan erti kehilangan.


 








     Benar.. aku tidak mampu untuk merasakan pahitnya kehilangan itu dalam diriku bahkan selalu berdoa kepada Allah untuk sampaikan ajalku terlebih dahulu sebelum ia menyapa keluargaku. Ini kerana aku lebih takutkan kematian ahli keluargaku daripada kematianku sendiri. Ya, aku tahu tidak sepatutnya aku berdoa sebegitu tetapi hanya itu yang mampu aku luahkan kepada Ilahi bahawa jika kehilangan itu terjadi dalam hidupku, sungguh aku tidak mampu laluinya. Amat sakit. Namun Tuhanku lebih mengetahui kemampuan hamba-Nya yang hina ini.











        Pada Februari 2022, aku terkedu terima khabar insan yang ku gelar Tok Ayah pulang ke pangkuan Ilahi. Walau selalu memujuk hati untuk sentiasa bersedia menerima khabar ini, namun tetap berlinangan air mataku. Ia seakan tidak menyangka bahwa aku melalui detik 'kehilangan' itu sekali lagi selepas beberapa bulan nenda tersayang pergi menghadap Yang Maha Esa. Segala memori bersama arwah mulai berlegar di sudut fikiranku. Dialah satu-satunya tok ayahku. Dialah yang selalu menyokong cucu-cucunya. Dialah juga pemberi nasihat. Dialah yang mengimpikan untuk menumpang kesenangan dan kegembiraan di kala aku berjaya suatu hari nanti.



 










         Tetapi, arwah pergi meninggalkan kami sebelum sempat dia merasakan kesenangan yang kami akan capai. Kehilangan itu pasti dilalui oleh setiap manusia di muka bumi ini. Sebagai hamba Allah, kita perlu bersedia dengan itu kerana Allah lebih mengetahui segala-galanya tentang hamba-Nya. Hanya dengan doa, segala takdir akan berubah. Yang penting perlu yakin dan selalu bersangka baik dengan Allah. Semoga tenanglah kamu di kerajaan yang baru duhai Tok Ayah. Al-Fatihah. 

 








         



 

 








       





 





        







          




Comments